Di dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang manusia lebih-lebih
lagi manusia muslim, Allah SWT akan menguji kita dengan pelbagai bentuk
ujian. Secara mudahnya ujian Allah SWT ke atas manusia ada dua bentuk.
Yang pertama dalam bentuk nikmat dan yang kedua dalam bentuk bala.
Contoh ujian Allah SWT dalam bentuk nikmat antara lain ialah pangkat,
kedudukan, kuasa, kekayaan, kemewahan, sihat tubuh badan, tidak pernah
sakit dan banyak lagi. Manakala ujian Allah SWT dalam bentuk bala antara
lain ialah tiada pangkat dan kedudukan, tidak memiliki kuasa,
kemiskinan, kemelaratan hidup, sakit, kematian ahli keluarga terdekat
dan banyak lagi. Kebanyakan manusia muslim dan mukmin mampu mengharungi
ujian Allah SWT dalam bentuk bala ini. Malangnya ramai manusia termasuk
yang muslim tetapi tidak mukmin gagal mengharungi ujian Allah SWT dalam
bentuk nikmat.
Ramai manusia yang hanyut dengan nikmat Allah SWT dan tidak sedikit
pula yang menjadi riak, sombong, angkuh, takbur dan ada yang mengaku
menjadi tuhan dengan nikmat yang Allah SWT berikan kepada mereka. Contoh
klasik yang patut di fikirkan tentang jenis manusia yang mendapat
nikmat tetapi lupa kepada Allah SWT ialah Firaun, Qarun, Namrud dan
banyak lagi. Mereka ini semuanya ditimpa dengan bala bencana dan
kemudiannya dimusnahkan oleh Allah SWT. Tidakkah terfikir oleh kita
kenapa sesudah diberikan dengan pelbagai nikmat, Allah SWT musnahkan
pula mereka dan segala nikmat yang telah mereka perolehi.
Perkara inilah yang dinamakan istidraj. Pemberian nikmat oleh Allah
SWT kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Kenapa
pula terjadi beri tetapi tidak redha. Inilah satu kaedah Allah SWT
berurusan dengan manusia yang tidak tahu bersyukur dan ingkar dengan
perintahnya. Pelbagai nikmat telah diberikan tetapi manusia tidak
beriman dan bersyukur sebaliknya menjadi betambah angkuh, sombong,
bongkak , takabur dan kafir terhadap Allah SWT. Dalam hal ini tidak
hairanlah jika Allah SWT beri tetapi tidak meredhainya.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu melihat
bahawa Allah SWT memberikan nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat
maksiat (dosa) ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh
Allah SWT”. (Diriwayatkan oleh: At-Tabrani, Ahmad danAl-Baihaqi)
Agak malang bagi manusia yang melakukan dosa dan maksiat ini kerana
terkeliru dengan pemikirannya yang merasakan bahawa nikmat yang melimpah
ruah itu tadi sebagai tanda Allah SWT bersama dan meredhai
perbuatannya. Mereka dilalaikan oleh syaitan dengan nikmat itu tadi
sehingga tidak terfikir bahawa nikmat yang banyak inilah yang bakal
memusnahkan hidup mereka.
Sebenarnya manusia yang telah diistidraj adalah jenis manusia yang
lupa daratan. Walaupun berbuat dosa dan maksiat masih merasakan Allah
SWT amat menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang kuat
beramal soleh. “Dia tu siang malam ke masjid tetapi basikalpun tak mampu
beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah
beribadat pun rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadatnya
tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong”. Sebenarnya nikmat yang
banyak Allah SWT berikan kepadanya adalah bertujuan untuk
menghancurkannya.
Rasulullah SAW bersabda: Apabila Allah SWT menghendaki untuk
membinasakan semut, maka Allah SWT terbangkan semut itu dengan dua
sayapnya” Sebagai contoh perbandingan daripada hadis ini ialah
bangaimana Allah SWT memusnahkan anai-anai. Anai-anai, jika tidak
bersayap akan duduk diam di dalam busut, atau merayap di dalam kayu,
atau di bawah batu dan di celah-celah timbunan daun kering. Bila Allah
SWT berikan sayap anai-anai berubah menjadi kelkatu. Timbul sifat
sombongnya bila mendapt sayap (nikmat) lalu cuba melawan api atau
cahaya. Maka anai-anai tadi akan binasa dan mati. Begitu juga dengan
manusia, bila dapat nikmat (kekayaan, kemewahan, pangkat, kedudukan,
kuasa dan sebagainya) akan cuba melawan Allah SWT dengan cara tidak
beriman dan tidak bersyukur kepadaNya. Maka manusia itu tadi dibinasakan
oleh Allah SWT dengan pebagai cara dan mati.
Sebagai buktinya ialah Firaun. Tidak ada orang yang memiliki kuasa
dan kedudukan yang hebat dan luar biasa melainkan Firaun. Nikmat yang
Allah SWT berikan kepadanya tidak terkira. Kuasanya tiada tandingan,
semua orang tuduk dan patuh kepada kehendaknya, kekayaannya melimpah
ruah, tidak pernah sakit, bersin pun tak pernah kerana Allah SWT berikan
nikmat sihat yang luar biasa kepadanya. Allah SWT berikan semua ini
kerana Allah SWT telah menistidrajkan Firaun. Firaun menjadi angkuh,
sombong, bongkak dan takbur sehingga peringkat mengaku dirinya tuhan.
Dalam hidupnya dia tidak pernah bersyukur. Dia melawan Allah SWT tanpa
henti. Akhirnya dengan nikmat itulah Allah SWT binasakannya.
Firaun sudah binasa. Hanya tinggal sebagai bahan sejarah untuk
renungan umat yang terkemudian iaitu kita di hari ini. Walaupun Firaun
sudah tiada, orang yang memiliki sifat dan perangai sepertinya masih
ramai di bumi Allah ini. Orang seperti ini juga pasti binasa kerana
telah diistidrajkan oleh Allah SWT. Hanya menunggu saat dan ketikanya
sahaja. Contoh klasik daripada kejadian kemusnahan yang menimpa Firaun
ini patut dijadikan sebagai iktibar dan teladan oleh mereka yang
memiliki sifat dan perangai sepertinya.
Namrud yang kuat menyembah patung dan sangat berkuasa cuba untuk
membakar Nabi Ibrahim AS. Oleh kerana terlalu berkuasanya Namrud
menjadikan dia begitu marah dengan sesiapa sahaja yang menentang
kekuasaannya. Kekuasan yang tiada tolok banding yang Allah SWT berikan
kepada Namrud juga satu bentuk istidraj. Dia begitu sombong dan melawan
Allah SWT yang telah menciptakannya. Akhirnya Allah SWT binasakan dengan
menghantar tenteranya dalam bentuk nyamuk sahaja. Namrud dan
pengikutnya dibinasakan. Salah seekor nyamuk memasuki lubang hidungnya
dan Namrud pun binasa. Amat mudah bagi Allah SWT memusnahkan sesiapa
yang dikehendakiNya.
Tidak ada manusia di muka bumi Allah SWT ini sekaya Qarun. Anak kunci
gudang hartanya sahaja kena dipikul oleh 40 ekor unta. Bayangkanlah!.
Itu baru anak kunci gudang hartanya. Hartanya bagaimana?. Hanya Allah
SWT yang tahu betapa kayanya manusian bernama Qarun ini. Ini pun
istidraj juga namanya. Qarun sangat kaya tetapi sangat kuat melawan
Allah SWT. Dia tidak pernah sujud dan bersyukur kepada Allah SWT.
Akhirnya Allah SWT binasakannya dengan ditengelamkan bersama-sama
hartanya.
Jika kita fikir secara halus dan terperinci, maka terjawablah segala
keraguan yang menggangu fikiran kita. Mengapa orang kafir sangat
berkuasa dan kaya, orang yang berbuat dosa dan maksiat sangat berkuasa
dan kaya, Amerika dan Israel sangat hebat, berkuasa dan kaya. Jawapannya
mereka telah diistidrajkan oleh Allah SWT. Segala bentuk nikmat yang
Allah SWT berikan kepada mereka tidak dengan keredhaanNya dan bertujuan
untuk menghancurkannya. Hanya masa dan ketika sahaja untuk melihat
mereka ditimpa kemusnahan seperti umat yang terdahulu. Yakin dan
percayalah bahawa Allah SWT itu lebih mengetahui segala sebab musabab
sesuatu itu dijadikanNya.
Sebagai kesimpulannya, apabila kita benar-benar memahami maksud
istidraj sudah pasti tidak berlaku salah persepksi terhadap istilah
istidraj ini. Tidak semestinya orang yang berpangkat, berkuasa, memiliki
kekayaan, kemewahan, sihat dan tidak pernah sakit kita katakkan orang
ini telah diistidrajkan oleh Allah SWT. Dengan pelbagai nikmat yang
mereka perolehi kemudian mengabdikan diri kepada Allah dengan cara
bersyukur dan melakukan suruhan serta meninggalkan laranganNya maka
orang ini tidaklah diistidrajkan. Inilah sebaik-baik cara apabila kita
memperolehi apa sahaja nikmat daripada Allah SWT. Sepatutnya semakin
banyak nikmat yang diperolehi semakin rapat dan dekat jiwa kita terhadap
Allah SWT. Semakin banyak nikmat yang diperolehi sepatutnya semakin
kuat bersyukur dan mencari keredhaanNya serta mengabdikan diri
kepadaNya. Orang yang mendapat nikmat dan berbuat seperti ini pasti akan
selamat di dunia dan di akhirat.
Untuk peringatan bersama.
Sumber :guabama.wordpress.com
gambar : google