Syukur alhamdulillah, akhirnya siap juga penulisan ala-ala jurnal percutian saya di Sabah. Walaupun jaulah saya sebenarnya telah berlalu lebih kurang 8 bulan lamanya, dan.. cuti hari minggu ni saya kuatkan azam dan tekad untuk menyiapkannya.. :) Di sini saya kongsikan sedikit pengalaman dan kenangan berharga ketika seminggu saya berjaulah di bumi Sabah Negeri di Bawah Bayu Mac lalu. Kata orang, tiada siapa yang dapat membeli kenangan dan pengalaman, pengalaman adalah suatu yang paling berharga dalam kehidupan, apatah lagi jika ianya sesuatu yang manis, begitulah juga apabila ia sebaliknya, pengajaran dan iktibar pula akan mengambil tempat, mematangkan diri dalam perjuangan dan perjalanan yang bernama sebuah kehidupan.
12 Mac 2011
|
Terminal LCCT Kota Kinabalu |
Hari ini, jaulah ke Negeri di Bawah Bayu menjadi kenyataan sepertimana yang telah dirancangkan. Alhamdulillah syukur kepada Allah di atas nikmat kurniaNya yang tidak terhitung, saya dan dua orang rakan telah selamat pergi dan selamat kembali setelah seminggu berada di sana. Pengalaman pertama menghabiskan cuti sekolah tidak di samping keluarga tersayang. Lazimnya, perantau di tempat orang seperti saya akan terikat jiwa dan raganya pada kampung halaman apabila tiba saja musim cuti persekolahan, tak pernah tidak saya akan pulang ke kampung sebaik saja bermulanya cuti persekolahan...
Ermm.. terbit rasa rindu dalam sanubari, namun perancangan awal sebenarnya telah dibuat dan telah pula saya persetujui. Bak kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan, saya korbankan cuti kali ini untuk mengutip sedikit pengalaman berharga berjaulah ke negeri orang. Segala rasa rindu di dada jauh saya simpan di dasar lubuk hati.. saya pujuk hati dengan sabar menanti cuti persekolah pertengahan semester depan untuk pulang ke kampung halaman berjumpa ibu, ayah dan keluarga tersayang.
|
Seusai tiba |
Perjalanan dari Melaka ke Putrajaya menumpang kereta seorang sahabat yang turut berjaulah mengambil masa sejam lebih sebelum transit beberapa jam berehat di rumah kakak sahabat saya tadi. Kemudiannya, kami bertolak ke Terminal LCCT Sepang untuk memulakan jaulah ke Kota Kinabalu, Sabah. Perjalanan ke sana menaiki kapal terbang pula memakan masa lebih kurang 2 jam setengah, (kami memilih penerbangan tambang murah AirAsia dengan harga tiket RM378 pergi dan balik). Hampir jam 10 malam akhirnya saya pertama kalinya menjejakkan kaki ke bumi Sabah. Berbaur perasaan, dan buat pertama kali juga dalam hidup, saya berada di tempat yang jauh beribu batu jaraknya dari tempat kelahiran saya :), perjalanan beribu kilometer dan merentasi Laut China Selatan! bak kata orang, mungkin saya memulakan langkah pertama untuk langkah yang seterusnya, insyaAllah.. mudah-mudahan.
|
Gaya Street |
13 Mac 2011
Hari pertama di bumi Sabah setelah mengembalikan tenaga yang telah dihabiskan seharian menempuh perjalanan yang agak memenatkan, cas bateri kata seorang sahabat.. :) penat menunggu sebenarnya, bermula perjalanan awal pagi menuju ke Sepang, singgah 'transit' di rumah kakak seorang sahabat di Putrajaya sebelum menghabiskan masa hampir beberapa jam pula menunggu waktu penerbangan.
'Gaya Street'
Lokasi pertama jaulah yang kami lawati ialah Pasar Gaya atau 'Gaya Street' yang agak terkenal oleh penduduk Sabah mungkin. (Setelah disyorkan oleh orang Sabah sendiri ketika dalam penerbangan semalamnya), Ia beroperasi pada pagi setiap hari ahad saja. Perniagaannya berfungsi sama seperti pasar-pasar malam atau pasar-pasar tani yang lain. Pelbagai barangan yang di jual dan tentunya banyaklah gerai yang menjual kerongsang kerana Sabah memang terkenal dengan perniagaan kerongsangnya! saya cuma membeli beberapa kerongsang cenderahati untuk keluarga sambil-sambil mencuci mata 'window shopping' sahaja yang selebihnya.
|
Pintu gerbang di Bandar Kota Kinabalu |
|
Pantai Tanjung Lipat |
Sepanjang perjalanan pulang dari Pasar Gaya, saya sedikit teruja dengan pemandangan dari arah pesisiran pantai apabila tiba-tiba saya terpandangkan 'bayangan sesuatu' nun jauh di sebalik bangunan Yayasan Sabah yang tersergam indah. Rupa-rupanya itulah bayangan puncak Gunung Kinabalu menurut sahabat saya yang juga merupakan pemandu pelancong kami di Sabah. Bayangan itu seolah-olah menggamit kedatangan kami ke sana.. dan saat itu saya sudah mula teruja dan perasaan itu semakin brtambah-tambah pula setelah mengetahui bahawa Gunung Kinabalu juga adalah salah satu destinasi yang akan kami lawati nanti.. :)
|
Sepanjang perjalanan |
Semasa perjalanan pulang ke rumah penginapan kami, (rumah sahabat, guru di sana a.k.a pemandu pelancong kami) sempat juga kami singgah di Pantai Tanjung Lipat mengambil gambar walaupun banyak sebenarnya peluang untuk kami singgah di situ lagi kerana ianya merupakan satu-satunya perjalanan yang akan sering kami tempuhi sepanjang tempoh kami berada di Kota Kinabalu.
Sebelah petangnya pula, kami mengunjungi pusat membeli belah 'One Borneo' untuk membeli sedikit barang keperluan sebelum meluangkan masa bersiar-siar di sekitarnya. Letaknya berhampiran dengan Universiti Malaysia Sabah dan juga sangat hampir dengan taman perumahan tempat penginapan kami. Menurut sahabat saya, sejak pembukaan One Borneo di situ, urusan membeli belahnya sudah menjadi semakin mudah, menurut ceritanya lagi, One Borneo adalah merupakan pusat membeli belah yang terbesar di Borneo (Sabah, Sarawak dan Brunei) setakat ini.
|
Sepanjang perjalanan pulang 2 |
|
Pemandangan puncak gunung dari dalam kereta |
|
Bangunan Yayasan Sabah
|
|
Singgah solat zohor di Masjid Bandaraya |
14 Mac 2011
'Pasar Philipines'
Destinasi kedua percutian kami di Sabah ialah Pasar Philipines, tak lengkap rasanya apabila berkunjung ke Sabah tanpa mengunjungi tempat ini. Pasar ini letaknya betul-betul di tepi laut Sabah, ia merupakan pasar yang sangat terkenal di Kota Kinabalu. Kenapa diberi nama 'Philipines' ya? kebanyakan penjual di sini imigran Filipina rupanya, sabah negeri yang berjiran dengan Filipina, jadi tak hairanlah jika orang-orang dari sana kebanyakannya ramai yang datang ke sini untuk mencuba nasib mencari rezeki. Seingat saya juga pernah suatu ketika dahulu ada ura-ura mengatakan bahawa dahulunya bumi Sabah ini adalah sebahagian dari tanah Filipina sebelum ianya bergabung dengan Tanah Melayu pada tahun 1963 menjadi Malaysia. Sejauhmana benarnya.. wallahua'lam.
|
Gamat, RM780 sekilogram |
Di sini ada dijual pelbagai jenis keropok, makanan kering dan 'jajan', saya tidak melepaskan peluang membeli 'amplang' iaitu makanan ringan asli Sabah (sejenis keropok berbentuk sfera dan diperbuat dari ikan, udang dan sotong) serta beberapa sedikit makanan kering buah tangan untuk cicipan keluarga dan sahabat. Turut sama dijual, makanan kering hasil laut (ikan, sotong kering dan lain-lain) di samping barangan cenderahati seperti di tempat-tempat lain sehinggalah kepada tempat menjual pelbagai barangan aksesori yang sememangnya terkenal di sini. Apalagi kalau bukan pelbagai jenis gelang, rantai dan kerongsang yang berasaskan mutiara dan kristal Sabah. Untuk pengetahuan, terdapat perbezaan harga di antara mutiara air masin dan mutiara air tawar di sini. Mutiara air masin agak mahal harganya berbanding mutiara air tawar yang agak murah dan berpatutan. Kata penjual di sini, mutiara air masin (laut) harganya lebih mahal kerana ianya agak sukar diperolehi berbanding mutiara yang senang didapati di air tawar.. ermm... alasan yang boleh diterima akal logik saya.
|
Pasar Philipines |
|
Pulau Gaya dari arah Kota Kinabalu
|
Selesai saja membeli belah, kami singgah mengambil beberapa keping gambar kenangan di sekitar Pasar Philipines, sekitar Bangunan Yayasan Sabah dan rehlah sebentar di pinggir Pantai Tanjung Lipat. Duduk menikmati pemandangan sekitar sambil menikmati sedikit makanan yang sengaja dibawa dari rumah. Memang dah dirancang, seusai membeli belah di Pasar Philipines, salah satu agenda yang diatur 'pemandu pelancong' kami ialah berkelah di sini. Hehe.. seronok juga petang-petang sekali-sekala berkelah menikmati angin pantai dan deruan ombak laut bersama.
|
Berkelah tepi Pantai Tanjung Lipat
|
|
Jesselton Point |
15 Mac 2011
Sabah sememangnya kaya dengan keindahan semulajadi pulau-pulaunya. Boleh dikatakan ianya merupakan lokasi wajib setiap pelancong apabila berkunjung ke Sabah. Begitu juga dengan kami, kami turut tidak ketinggalan untuk menikmati keindahan pulau yang ada di sana. Perjalanan jaulah kami kali ini diteruskan dengan memilih lokasi Pulau Manukan dan Pulau Mamutik atau lebih dikenali dengan nama Taman Tunku Abdul Rahman, sebagai destinasi jaulah pada hari ketiga jaulah. Seawal jam 10 pagi, kami tiba di Jesselton Point untuk membeli tiket dan bersedia untuk ke dua pulau tersebut. Harga tambang bot ke sana berharga lebih kurang RM30 seingat saya. (pakej untuk 2 pulau) tidak termasuk cukai yang dikenakan, cukai yang dikenakan berharga sekitar RM7. Ermm.. baru saya tahu, untuk ke pulau kami juga perlu membayar cukai rupanya...
|
Pengkalan bot Jesselton Point |
Pada asalnya, lokasi ini merupakan antara lokasi terawal untuk jaulah kami di sini, tetapi rancangan terpaksa ditunda disebabkan faktor cuaca yang tidak mengizinkan. Walau pun demikian, syukur kerana kami tetap berpeluang sampai ke sana walaupun perancangan yang tiba-tiba sedikit berubah menyebabkan saya agak tidak begitu bersedia untuk ke sana. Mengikut peratusannya, dalam 50-60 saja persediaan fizikal dan mental saya. Tapi jika dah rezeki tu... tidak kemana, segala-galanya akan dipermudahkan urusannya oleh Allah, alhamdulillah. :)
|
Meninggalkan Jesselton Point menuju Pulau Manukan
| |
Perjalanan ke Pulau Manukan menaiki bot ke lokasi pertama kami mengambil masa lebih kurang setengah jam. Cuaca hari itu agak baik, dan laut tidak begitu bergelora. Risau juga 'pemandu pelancong' kami kalau-kalau ada di antara kami yang akan mengalami mabuk laut nanti.. :)
|
Hampir tiba di Pulau Manukan
|
|
Entry Pulau Manukan |
'Taman Tunku Abdul Rahman'
Seperti yang pernah saya lihat di kaca tv, pada hari itu, ia benar-benar wujud dan tergambar di balik kornea mata saya. Menarik dan benar-benar mengagumkan. Subhanallah, cantik sungguh! pengalaman pertama saya makin angin di pulau. Tiba saja di Pulau Manukan, kami tidak melepaskan peluang menikmati keindahan alam yang terbentang, laut yang menghijau, bukan membiru seperti kebiasaan. Agaknya begitu sifatnya air laut di sekitar pulau.(Ketika meninjau pemandangan dari dalam pesawat saya dapati air yang kelihatan berwarna hijau mengelilingi kawasan pulau). Kemudian, kami mengambil gambar-gambar kenangan di sekitar pulau sehinggalah tiba acara wajib kebiasaan rehlah fi shatiil bahri,(berkelah di tepi pantai). Acara makan-makan diikuti acara mandi manda dan berendam air laut menyusul pula. Tapi agak sayang, disebabkan ketiadaan bantuan 'jurukamera' maka tiadalah gambar yang dapat dirakamkan ketika kami mandi manda di sana.
|
Acara makan-makan @ Pulau Manukan |
|
Ikan-ikan berenang @ Pulau Manukan |
|
Pulau Mamutik |
'Pulau Mamutik'
Seusai berendam dan mandi manda, kami bergegas menunggu bot yang akan membawa kami ke lokasi pulau yang kedua pula iaitu Pulau Mamutik, sambil menikmati keasyikkan pemandangan ikan-ikan yang berenang-renang di permukaan air. Agak jelas pada penglihatan, melihat keindahan semulajadi laut yang terbentang luas membiru, butiran pasir yang terhampar mulus, air jernih dan ikan-ikan berenang menyejukkan pandangan yang wujud di depan mata, membuatkan saya terfikir betapa besarnya anugerah ciptaan Allah kepada kita. Subhanallah, Maha Suci Allah yang telah menjadikan setiap sesuatu. Nikmat yang tidak terhitung kepada kita sebagai hambaNya, Maka nikmat Tuhan yang manakah kamu dustakan? (QS Al-Rahman :36) Kali ini, saya tidak lagi berendam dan mandi manda, cukuplah berendam di Pulau Manukan, sekadar duduk saja melihat dan menikmati keindahan alam. Namun tidak dinafikan ada sedikit rasa cemburu melihat keseronokan sahabat-sahabat saya mandi manda, tapi tidak mengapalah.. lain kali jika ada peluang, saya boleh berbuat demikian lagi.. insyaAllah.
|
Pemandangan menarik Pantai Pulau Mamutik |
|
Kawan-kawan sedang mandi-manda @ Pulau Mamutik
|
|
On the way ke Kundasang |
16 Mac 2011
"Gunung Kinabalu"
Masuk hari yang kelima jaulah kami di bumi Sabah, destinasi kami yang seterusnya ialah lokasi yang agak mengujakan saya. Ianya seolah-olah menggamit kedatangan saya semenjak dari hari pertama lagi kedatangan saya di bumi Sabah. Sebelum itu kami bercadang untuk menginap semalaman di sana, tapi perancangan diubah dari rancangan bermalam kepada balik hari kerana ketiadaan tempat penginapan yang kosong pada hari tersebut (maklumlah pada masa tu cuti persekolahan).
Perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Kundasang, lokasi letaknya Gunung Kinabalu memakan masa kurang lebih dua jam. Perjalanan yang akan menempuh satu tempat yang diberi nama Pekan Nabalu, iaitu pekan tempat memasarkan barangan dan hasil tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran segar dari Kundasang dan kawasan sekitar Gunung Kinabalu. Rupa-rupanya perjalanan yang bakal ditempuh agak mencabar. Kami terpaksa menempuh laluan mendaki yang kerap dan boleh dikatakan hampir kesemuanya laluan berselekoh untuk sampai ke Gunung Kinabalu. Merayap juga kereta dibuatnya.. nasib baiklah 'pemandu pelancong' kami seorang yang cekap dan sudah agak biasa dengan laluan ke sana.
|
Bayangan Gunung Kinabalu di kejauhan |
Banyak pemandangan menarik di sepanjang perjalanan yang dapat dilihat, antaranya ialah bayangan Gunung Kinabalu yang sudah nampak dikejauhan walaupun perjalanan untuk sampai masih berbaki panjang. Semakin lama ianya semakin mendekat...
Malangnya, nasib tidak menyebelahi kami,
bermula dengan bayangan.. lama kelamaan ia terus hilang di balik awan, lenyap terus dari pandangan. Keindahan sebenar gunung tertinggi di Asia Tenggara ini tidak dapat dilihat dengan jelas di pandangan mata saya.
|
@ Entry laluan pendakian, tempat kaunter tiket masuk |
Cuaca pagi yang agak berkabus dan berawan sebenarnya yang membataskan penglihatan, sebaik hampir tiba, awan melitupi sepenuhnya gunung kebanggaan rakyat Sabah itu. Seolah-olah ia malu untuk menzahirkan kecantikan dan kemegahannya di hadapan kami. Nampaknya bukan rezeki saya untuk menatap keindahan ciptaan Allah ini. Perasaan saya sedikit kecewa ketika itu., erm.. terasa rugi pula, tapi saya redha saja :), tidak mengapa, mungkin rezeki saya ada dilain masa. InsyaAllah, jika masih di beri umur dan kesempatan, satu hati nanti saya akan kembali lagi ke sini lagi untuk menatap sepuas-puasnya tanda-tanda kebesaran Allah Taala ini.
|
Gunung Kinabalu ketika cuaca baik (Gambar ihsan) |
Sebetulnya, cuaca pada hari itu agak berkabus walaupun langit ketika itu kelihatan cerah. Dalam perjalanan pulang ketika menuruni laluan gunung, lampu kereta terpaksa dipasang dan kelajuan terpaksa diperlahankan. Kabus tebal hampir di sepanjang jalan menghalang laluan dan penglihatan kami. Kami terpaksa merempuh kabus yang muncul seperti asap tebal (kelihatan seperti awan) untuk pulang sebelum hujan turun tidak lama kemudian.
|
@ Peta laluan Gunung Kinabalu |
|
Laluan pendakian Gunung Kinabalu
| |
|
Gunung Kinabalu dilitupi awan tebal |
Dari Gunung Kinabalu kami turun ke perkampungan Kundasang untuk singgah solat, destinasi kami selepas itu ialah tempat penternakan lembu susu di Desa Farm, Kundasang. Jalan-jalan melihat tempat pemprosesan susu lembu. Di situ, kami sempat merasa keenakkan susu segar dari ladang ternak tersebut. Alhamdulillah... enak dan segar susunya.
|
Perkampungan di Kundasang
|
|
@ Desa Farm
| |
|
Pemandangan sekitar Desa Farm |
|
Desa Cattle Sabah Snd Bhd |
|
@ Rose Garden |
|
Strawberry Garden, Kundasang
|
Kemudian, kami menuju pula ke Strawberry Garden Kundasang, tempat tanaman strawberry di Kundasang. Dapat juga kami melihat strawberry bantut walaupun waktu itu bukan musim. Kebun ini agak kecil jika dibandingkan dengan kebun strawberry di Cameron Highlands, di samping tanaman strawberry, tanaman lain seperti bunga ros dan beberapa jenis bunga lagi turut ada di situ, rasanya kebun ini diusahakan untuk tanaman kecil-kecilan sahaja memandangkan lokasinya yang berhampiran dengan kawasan pelancongan Gunung Kinabalu.
|
Bahagian hadapan hotel |
17 Mac 2011
'Karambunai'
Hari kelima kami di Sabah, lokasi terakhir kami ialah bersiar-siar makan angin di sekitar Hotel Karambunai Nexus Kota Kinabalu, tempat yang agak terkenal di kalangan pembesar-pembesar negeri ke Sabah sekiranya menghadiri majlis dan perjumpaan penting di sini. Nama 'Karambunai' menurut cerita diambil sempena peristiwa kapal dari Brunei yang pernah singgah dan karam di situ, karam dan Brunei lama kelamaan dinamakan menjadi 'Karambunai' begitulah cerita yang dikisahkan sahabat merangkap pemandu pelancong kami di sana.
|
Pantai Karambunai Nexus
|
|
Menikmati bayu laut dan deruan ombak pantai |
|
Apartment tempat penginapan pelancong luar negara
| | | |
|
|
|
|
Di beri penerangan tentang cara-cara mewarna batik |
Satu perkara yang kami tidak jangkakan pada hari tersebut, aktiviti berjalan sekadar untuk bersiar-siar sahaja bertukar menjadi satu aktiviti yang menyeronokkan pula, Pengalaman berharga saya mewarnakan batik yang seumur hidup saya tidak pernah menyentuhnya. Mungkin agak keterlaluan, namun itu hakikat yang sebenarnya. :) kerana saya berasal dari sebuah negeri di pantai timur yang agak terkenal dengan keindahan lukisan batiknya. Pertama kali dalam hidup saya melalui pengalaman mewarna batik di sini walaupun saya masih ingat suatu ketika dahulu sewaktu masih kecil, saya pernah tinggal di kalangan pembuat dan pengusaha batik di negeri saya.
|
sebelum diwarnakan |
|
warna jangan tak warna |
|
Aktiviti mewarna batik sedang dilakukan
|
|
Batik yang siap kami warnakan |
|
Pelancong Jepun bergambar kenangan dengan kami |
19 Mac 2011
Merupakan hari terakhir jaulah kami di bumi Sabah, berat rasanya hati untuk meninggalkan bumi indah ini, Namun, setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan selepasnya kerana perjuangan harus kami teruskan. Hari sabtu yang indah, seawal pagi kami bersiap sedia ke Terminal LCCT Tanjung Aru Kota Kinabalu untuk pulang ke Kuala Lumpur. Rupa-rupanya penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur terpaksa ditangguhkan beberapa jam kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Selamat tinggal Negeri di Bawah Bayu, insyaAllah jika diizinkanNya, suati hari kita akan bertemu lagi...
Alhamdulillah, lebih kurang jam 3 petang kami selamat mendarat di Terminal LCCT Sepang. Keesokkannya pula kami meneruskan perjalanan bertolak pulang ke rumah setelah transit semalaman di Putrajaya. Segala puji bagi Allah, atas sedikit pengalaman berharga yang telah diberikan kepada saya. Pengalaman pertama saya di Sabah banyak mengajar saya erti syukur dengan nikmat kurniaan yang diberikan Allah kepada kita. Di sana juga ada pengajaran untuk saya menilai diri bagaimana menjadi seorang sahabat yang sejati dan bukan sekadar menjadi seorang sahabat yang bererti sahaja. Pesanan Imam Hasan al Banna, "Serendah-rendah ukhwah adalah salamatul sadri (berlapang dada) manakala setinggi-tinggi ukhwah adalah Ithar (mendahulukan kepentingan sahabat melebihi kepentingan diri sendiri) mungkin pesanan ini berguna untuk kita. Atas segalanya, syukran jazilan diucapkan kepada sahabat yang sudi mempermudahkan urusan percutian kami di sana, semoga jasa dan budi baik yang telah diberikan, mendapat balasan yang setimpal dan hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya. Serangkap pantun khas saya ciptakan untuk kalian :
Mencari air di Seri Menanti,
Air dibuat penghilang dahaga,
Sungguh baik budi yang diberi,
Semoga Allah sahaja yang membalasnya.
Ainurhanan,
16 Oktober 2011,
TKD
No comments:
Post a Comment